PETALING JAYA: Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat petang ini.
Memetik kenyataan prabelanjawan 2025 yang disiarkan dalam laman sesawang khas Belanjawan Kementerian Kewangan, pembentangan kali ini akan memberi tumpuan kepada teras utama kerangka Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.
Pembentangan Belanjawan 2025 akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial pada pukul 4.00 petang ini.
Pada 7 Oktober lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan kepada ikhtiar kerajaan agar Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi MADANI.
Perdana Menteri berkata lebih banyak penambahbaikan struktur ekonomi akan diperkenalkan dalam belanjawan itu untuk memastikan pertumbuhan pesat ekonomi dapat dikongsi bersama rakyat secara saksama.
Berdasarkan takwim menerusi laman rasmi Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 itu akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin depan (21 Oktober) sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 November.
Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 November untuk diluluskan Dewan Rakyat.