Adam Adli syukur tiada pengurangan untuk KBS

BELANJAWAN 2025 | Peruntukan RM230 juta untuk pembangunan sukan dalam Bajet 2025 akan memastikan kesinambungan program sedia ada sekali gus membolehkan atlet Malaysia bersaing dengan lebih baik di peringkat global.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli menyatakan bahawa peningkatan pembiayaan daripada RM224 juta tahun ini kepada RM230 juta pada 2025 akan membolehkan kementerian merancang inisiatif dan perbelanjaan dengan lebih berkesan tahun depan.

“Kami bersyukur kerana tiada pengurangan dalam pembiayaan pembangunan sukan.

“Ini menunjukkan Komitmen Kerajaan untuk membangunkan lagi sektor belia dan sukan walaupun dalam kekangan dalam memenuhi matlamat mencapai defisit lebih rendah,” katanya kepada Malaysia Bangkit selepas pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat.

Adam Adli menyebut bahawa satu pembentangan akan diadakan tidak lama lagi oleh kementerian untuk memperincikan butiran peruntukan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukkan RM15 juta untuk pasukan Bawah 13 dan Bawah 18 Harimau Malaya.