ULASAN | Belanjawan madani PMX jamin kesejahteraan rakyat

Oleh: Lee Chean Chung

NILAI TERAS MADANI

ULASAN | PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sekali lagi menekankan bahawa segala usaha pertumbuhan ekonomi mesti tidak boleh terlepas dari tonggak utama, yakni untuk menjamin keselesaan rakyat melalui pendidikan, perumahan dan kesihatan.

Saya berpendapat belanjawan ini beracuan MADANI ala PMX, iaitu segala usaha pembangunan dan rangsangan (menaikkan siling) akan berteraskan kehidupan rakyat (menaikkan lantai).

EKONOMI MEMANDU

Dari segi transformasi ekonomi, Belanjawan 2025 telah pun menekan beberapa butang secara tepat. Antaranya kerajaan tidak lagi memeluk FDI (Pelaburan langsung asing) secara buta-buta, tapi lebih selektif. Mulai sekarang, limpahan ekonomi serta industri yang berpaksikan teknologi dan daya cipta akan diberikan pertimbangan khusus.

Ini bermakna kita telah mengguna pakai paradigma yang baru, iaitu membezakan pelaburan yang bernilai tinggi daripada yang lapuk, mengasingkan industri masa depan dengan sektor yang makin terbenam. Dalam falsafah ekonomi, ini merupakan kerajaan memandu (facilitative state), berbeza dengan kerajaan Laissez-faire (tidak buat apa-apa) ataupun Kerajaan Kleptokrasi.

Syarikat gergasi MNC (Multinasional) juga disarankan supaya mengetatkan rantaian bekalan mereka dengan pembekal tempatan, dan kedua-dua pihak akan menikmati pakej insentif cukai. Fenomena ini ada istilahnya: backward linkages.

Sekiranya MNC boleh membangunkan vendor dan pembekal tempatan, mereka “terpaksa” meningkatkan daya saing supaya dapat bersaing dalam rantaian global dengan pembekal lain, akhirnya akan menjadi sebuah firma yang bertaraf antarabangsa. Dalam erti kata lain, ini adalah untuk membangunkan rantaian perhubungan di belakang MNC ini supaya ada limpahan ekonomi dan ruang pembangunan untuk SME (Perniagaan Kecil dan Sederhana) / PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) kita.

Satu lagi satu idea yang segar – perkumpulan ekonomi (economic clustering) juga akan diwujudkan berdasarkan kelebihan komparatif: industri Kimia di Gebeng Pahang, tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah, dan umpamanya. Ramuan ini bantu menumpukan hala tuju pembangunan berdasarkan endowment (ketersediaan) mereka.

Saya juga tertarik dengan pengumuman bahawa pihak yang berkuasa meluluskan PAS penggajian melibatkan graduan bukan warganegara adalah MIDA, dan PAS pekerja di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) oleh Suruhanjaya Sekuriti. Satu lagi anjakan paradigma! Ini adalah kerana kelulusan sebelum ini memang perlu melalui KDN. Perubahan ini jelas dapat meningkatkan kecekapan serta lebih responsif kepada keperluan ekonomi.

KESEJAHTERAAN RAKYAT DI PPR

Langkah kerajaan yang memperkasa kesejahteraan penduduk Program Residensi Rakyat (PRR) juga memberangsangkan. Kerajaan memperuntukkan hampir RM900 juta untuk pelaksanaan 48 PRR, selain RM200 juta untuk penyelenggaraan lif-lif usang (memang banyak kisah yang mendukacitakan).

Usaha kerajaan untuk menangani isu malpemakanan sihat di kalangan anak-anak PPR Lembah Klang sebanyak RM5 juta sebenarnya selari dengan inisiatif yang saya jalankan di Petaling Jaya, menerusi Program Pemakanan Sihat dan Susu Percuma untuk kanak-kanak di perumahan kos rendah melalui penggunaan mesin layan diri (vending machine).

Ianya dilaksanakan dibawah salah satu teras #PJLestari untuk menangani isu tumbesaran 22 peratus kanak-kanak bawah umur 5 tahun yang terbantut.

Tidak hanya itu, kerajaan mengambil langkah kedepan untuk turut merangka kerja pemerkasaan komuniti bagi memperkukuh peranan persatuan penduduk. Lihat sahaja contoh terkini PPR Lembah Subang 1 yang imejnya baru sahaja “dinaik taraf 5 bintang” oleh penduduk, kerana mendapat sokongan peruntukan oleh ThinkCity dan K2K menerusi anjuran pertandingan kebersihan dan keceriaan. Impaknya sangat positif! Saya yakin dapat diperkasakan lagi dengan adanya dorongan daripada pengumuman belanjawan tersebut.

Penulis merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat