Langkah terbaik kurangkan jurang pendidikan – Altimet

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Pembinaan 44 sekolah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 adalah langkah strategik dalam menangani masalah akses pendidikan, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menyifatkan usaha itu sebagai manifestasi komitmen kerajaan untuk mengurangkan jurang pendidikan.

“Pembinaan sekolah baharu ini bukan sahaja menyokong pembangunan modal insan, tetapi juga memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua, tanpa mengira lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Lebih dikenali dengan Altimet, beliau berkata belanjawan yang menekankan kesaksamaan dalam pendidikan dengan pembinaan pusat-pusat autisme memberi peluang lebih baik kepada kanak-kanak dengan keperluan khas.

Altimet turut memuji kerajaan kerana mengambil pendekatan rasional dalam pengagihan subsidi, memastikan bantuan lebih bersasar dan mengelakkan pembaziran.

“Belanjawan ini jelas bukan populis tetapi menitikberatkan pengurusan fiskal mampan yang akan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat