Pindaan RUU Kewarganegaraan: MUDA tidak salah tapi perlu faham – Pakar

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Tuntutan parti MUDA agar Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan kewarganegaraan tidak salah, namun perlu difahami ia juga tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

Pensyarah School of Law and Governance Universiti Taylor’s, Profesor Madya Dr Saidatul Nadia Abd Aziz, menekankan bahawa undang-undang bersifat dinamik dan memerlukan masa serta pelaksanaan teliti.

“Hak perlembagaan ini adalah suatu perkara yang sangat tinggi (sacred), jadi ada sebab kenapa kita tidak boleh memenuhi kehendak semua pihak secara serta-merta,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.

Tambahnya lagi, parti itu juga perlu faham bahawa mana-mana pindaan undang-undang tidak semestinya akan memanfaatkan semua pihak. RUU perlu dipraktikkan terlebih dahulu bagi menilai keberkesanannya sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Mungkin dengan perubahan masa dan keadaan, situasi akan berubah. Jadi, RUU pindaan ini tidak boleh dilaksanakan secara total; ia ada limitasinya.

“Kalau kita buat semua, kita mungkin tidak mampu melaksanakannya,” tambahnya.

Dr Saidatul juga menyeru semua pihak supaya memberi masa untuk melihat kesan pelaksanaan RUU pindaan ini dan membuka ruang bagi perubahan yang lebih baik pada masa hadapan.

Terdahulu, kelulusan RUU pindaan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas diadakan undian belah bahagian, dengan 206 Ahli Parlimen setuju, seorang tidak setuju, 14 tidak hadir, sementara seorang lagi tidak hadir kerana digantung.

Undi tidak setuju dilakukan MP Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengkritik RUU pindaan tersebut sebagai tidak adil dan regresif.

Beliau mewakili MUDA turut meluahkan kebimbangan tentang kesannya terhadap komuniti Sabah, terutamanya pemegang kad pengenalan merah.

Justeru, Syed Saddiq mendesak supaya kajian lebih mendalam dilakukan bagi memastikan isu kewarganegaraan diselesaikan secara menyeluruh.

Anda Mungkin Berminat