Polis tahan lelaki gemparkan penduduk setempat


Shafira Aziz

GEORGETOWN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai memandu kenderaan secara melulu dan berbahaya.

Penangkapan itu susulan satu video tular di media sosial yang menggemparkan penduduk setempat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake memberitahu bahawa kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 12 September lalu di Jalan Dato’ Keramat dan Lebuh Chulia, di sini.

“Pemandu yang berusia 39 tahun dari Ayer Itam telah ditangkap oleh PDRM Daerah Timur Laut dan disiasat di bawah Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau mengesahkan bahawa individu tersebut juga sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes jenayah berasingan, di mana dia didakwa memecahkan cermin sebuah kenderaan pada 17 Oktober lalu.

Ujian awal saringan air kencing menunjukkan bahawa pemandu tersebut positif untuk dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, serta mempunyai 12 rekod pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik.

“Kami ingin menasihati pengguna jalan raya agar memandu secara berhati-hati dan berhemah demi keselamatan semua,” tambahnya.