Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto atas pelantikannya sebagai Presiden baharu Indonesia pada Ahad.
“Saya mewakili Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan selamat memulai tugas pada sahabat lama saya, Prabowo,” kata Anwar kepada media Malaysia, lapor media tempatan.
Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook, Anwar yakin Prabowo Subianto akan berkhidmat sepenuh hati serta turut sama dengan Malaysia membangun kerukunan dan mengangkat martabat atau harkat rantau ke peringkat lebih baik.
“Dengan perjalanan panjang politik Bapak Prabowo Subianto dengan segala tantangan dan mehnah yang dilalui, saya yakin beliau akan berkhidmat sepenuh hati serta akan turut sama dengan Malaysia membangun kerukunan dan mengangkat martabat dan harkat rantau ini ke tingkat yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar juga berharap Malaysia akan terus menjadi rakan strategik Indonesia selain meningkatkan jambatan rasa dan ikatan persahabatan kedua negara bersaudara ini.
Anwar yang kini berada di Jakarta bagi menghadiri angkat sumpah Prabowo juga menghargai sumbangan dan kerjasama Presiden Joko Widodo sepanjang beliau menjadi Presiden mulai 20 Oktober 2014 hingga 20 Oktober 2024.
Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia pada Ahad.
Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.
Anwar hadir bersama dalam majlis yang penuh bermakna dan penting itu dalam konteks tinta sejarah demokrasi Indonesia serta perkembangan politik serantau selain sebagai tanda penghormatan buat masyarakat sana.