Kerajaan tidak pernah naikkan kos rawatan hemodialisis

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kerajaan tidak pernah menaikkan kos rawatan hemodialisis dan tidak bercadang untuk menyemak mana-mana fi (bayaran perkhidmatan) buat masa ini, seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Penjelasan itu dibuat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menegaskan, bayaran RM13 untuk satu sesi atau lazimnya RM169 sebulan bagi perkhidmatan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu adalah bayaran sama sejak 2016.

“Penularan mesej yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab ini seharusnya dihentikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Selain itu, katanya, perkhidmatan asas di fasiliti KKM juga kekal RM1 manakala perkhidmatan pakar RM5.

Dr Dzulkefly turut memuat naik tangkap layar mesej yang mendakwa rawatan hemodialisis di hospital kerajaan tidak lagi percuma kerana pesakit wajib membayar RM13 bagi satu sesi atau RM169 sebulan, kononnya telah bermula sejak lebih setahun lepas, sedangkan ia sebenarnya ada fi yang sama sejak 2016.

Anda Mungkin Berminat