Prabowo angkat sumpah Presiden kelapan Indonesia

JAKARTA: Prabowo Subianto, 73, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia pada Ahad.

Lapor media Indonesia, majlis itu turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas, termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya bersumpah akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Presiden Republik Indonesia sebaik mungkin dan seadil boleh, mendukung perlembagaan serta melaksanakan semua undang-undang dan peraturan seberapa tegas yang boleh,” katanya.

Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.

Majlis itu disiarkan secara langsung di stesen televisyen negara itu.

Prabowo, bekas jeneral dan menteri pertahanan, menggantikan Joko Widodo, yang telah memimpin Indonesia selama sedekad.

Turut diundang ke majlis itu termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr, Perdana Menteri Serbia Milos Vucevic, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.

Prabowo komited dengan dasar luar negara tidak bersekutu Indonesia, tetapi memberi isyarat bahawa beliau akan lebih berani di pentas dunia.

Beliau menjadikan China sebagai negara pertama untuk lawatan rasmi luar negara selepas pemilihannya lapan bulan lalu.

Prabowo menang besar pada pusingan pertama undian Pilihan Raya Umum Indonesia, pada Februari lalu, dibantu oleh sokongan Gibran Rakabuming Raka sebagai calon naib presiden.

Gibran, 37, adalah anak lelaki penyandang Widodo.

Prabowo akan berarak antara parlimen dan istana selepas ucapan yang diharapkan kepada penggubal undang-undang.

Puluhan ribu orang dijangka berbaris di jalanan ketika beliau menjadi pemimpin kelapan Indonesia sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada penjajah Belanda pada 1945.

Anda Mungkin Berminat