Ulasan | Anwar angkat sastera dalam makna kemajuan

Oleh: Amin Ahmad

MESKIPUN belum ada pengumuman besar tentang sastera, seni dan budaya diungkapkan oleh Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025, namun aku masih boleh merasa gembira kerana beliau tetap santun memanfaatkan ruang menyampaikan ucapan petikan daripada dokumen penting ini dengan mempopularkan sejumlah perkataan yang kurang digunakan serta menyelit petikan puisi Kepada Cinta karya Teguh Esha yang begitu berbekas. 

Jika seni meliputi kemahiran pidato, maka Anwar telah diasuh dan dipengaruhi sejak kecil – oleh kedua ibu bapa dan guru agamanya.

Beliau menjadi antara pemidato terbaik dalam kalangan rakan-rakannya di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar) sejak di menengah rendah. Malah menerima biasiswa sebagai penuntut cemerlang bahasa Melayu. Ini dicatat kemas dalam buku tahunan sekolah tersebut antara 1960-1966. 

Kepetahan pidato ini tentunya dibantu oleh budaya cakna (ambil tahu), membaca dan bergaul dengan orang dewasa yang berpengalaman dan pintar. Ini diteruskan olehnya semasa di kampus Universiti Malaya. 

Puisi tetap hidup

Sebagai pelajar aliran Sastera, tidak pelik bila Anwar mengungkap petikan-petikan misalnya daripada Shakespeare dan T. S. Eliot. Beliau telah didedahkan dengan karya-karya mereka sejak di zaman persekolahan. 

Sampai sekarang aku terpukau dengan penjelasan  Anwar ketika satu sesi dialog “The People and The Budget”  bersama alumni Harvard pada tahun 1994:

“Many eyebrows were raised when I insisted on the participation of writers, artists and cultural organizations in the pre-Budget dialogues. We believe that the budget must reflect our concept of development, which is holistic. Development cannot be one dimensional or reduced to purely economic components. Development must follow from our vision of life and society that encompasses the life of the intellect and the appreciation of cultural expressions. Malaysia has done extremely well in stimulating commerce and industry, and it has thus become increasingly urgent that we do something to enrich our intellectual and cultural experience.”

Ia mengingatkan juga aku kepada satu ucapan beliau pada 5 Julai 1993: “Namun, biar bagaimana pantas dunia bergerak, dan sains merobek dunia daripada segala misterinya, puisi tiada penggantinya.

Justeru, puisi akan tetap hidup. Bukan kerana puisi lebih berkesan daripada novel, tetapi ada kebenaran yang hanya mungkin diucapkan melalui puisi.

Tabik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Semoga kita mengerti kepentingan sastera, seni dan budaya dalam mencari makna kemajuan.

***Penulis adalah Pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM)

Anda Mungkin Berminat