PM beri sumbangan RM50,000 kepada PENA

Oleh:Shafira Aziz

PETALING JAYA: Baru-baru ini, Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu dengan pihak Persatuan Penulis Nasional (PENA) untuk membincangkan mengenai usaha memartabat dunia penulisan dan kesusasteraan negara.

Selepas perbincangan tersebut, Datuk Farhan Fauzi turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 mewakili Anwar untuk membaik pulih fasiliti rumah persatuan berkenaan.

Anwar menegaskan bahawa sumbangan tersebut merupakan tanda sokongan kerajaan terhadap usaha memartabat dunia penulisan dan kesusasteraan negara.

“Hasil perbincangan dan sumbangan ini dapat membantu PENA terus memainkan peranan penting dalam mengembangkan bakat, memelihara intelektual serta suara penulis tempatan.

“Ini juga sebahagian usaha menjadikan Rumah PENA sebagai pusat tumpuan dan pertembungan kegiatan pengkaryaan sastera, bahasa dan kebudayaan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan bahawa pertemuan tersebut adalah susulan daripada sesi dialog antara beliau dan tujuh orang Sasterawan Negara pada Jun lalu.

Sesi dialog tersebut telah mencetuskan pelbagai idea bernas berkaitan usaha pemerkasaan seni, budaya dan sastera di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat