Wanita PKR Sasar Gembleng Tenaga Muda Perkasa Parti

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Satu Jawatankuasa Khas Pemberdayaan Wanita Muda ditubuhkan oleh Wanita KEADILAN untuk mencari resolusi baharu memberdaya wanita dari semua aspek.

Menurut Pengarah Komunikasi Wanita Pusat, Victoria Musa, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) yang dipengerusikan oleh Ketua Wanita, Fadhlina Sidek pada Ahad.

Jelasnya, Jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat, Wan Zulaika Abdul Kahar dan Adawiyah Sulaiman.

“Wanita KEADILAN prihatin dan peka terhadap cabaran yang dihadapi oleh kaum wanita muda yang bekerjaya dan mempunyai hasrat tinggi untuk menyemarakkan jiwa aktivisme mereka dan aktif dalam aktiviti sosial kemasyarakatan.

“Dengan penubuhan Jawatankuasa Khas ini, MPWP yakin bahawa kepimpinan wanita muda dapat diasah, dan mereka mengambil peranan aktif dalam pembangunan komuniti serta menjadi agen perubahan dengan membawa idea segar dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, mesyuarat juga membuat keputusan, Setiausaha Pengelola Wanita Pusat, Syafiqa Zakaria dilantik sebagai Pengarah Kongres Nasional Tahunan 2024.

Manakala, Ketua Wanita Negeri Johor, Zuraida Zainab dilantik sebagai Timbalan Pengarah.

Dalam masa sama, Wanita KEADILAN bertekad akan terus memperkasa dan menyantuni rakyat, memastikan setiap suara didengar dan setiap keperluan diambil kira.

“Kami percaya bahawa dengan kerjasama dan komitmen berterusan, kita dapat mencapai matlamat untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera,” katanya.

Baca juga: