PM: Pentingnya sinergi agensi kerajaan dengan ahli parlimen

Oleh: Shafira Aziz 

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan sinergi antara kementerian, agensi kerajaan dan Ahli Parlimen dalam memastikan maklumat dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara menyeluruh kepada rakyat. 

Perkara itu disampaikan selepas sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pagi tadi dengan pertemuan bersama Kepimpinan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang diketuai Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

“Antara isu penting yang dibincangkan termasuk pendidikan, kebajikan, pusat khidmat Ahli Parlimen dan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hubungan erat antara pemimpin kerajaan dan wakil rakyat amat diperlukan bagi memastikan setiap dasar Kerajaan MADANI dapat dihayati dan difahami oleh rakyat di semua peringkat masyarakat.

Anwar juga menekankan bahawa Ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab penting untuk mendalami setiap inisiatif kerajaan. 

“Jalinan kerjasama yang dinamik ini akan memastikan maklumat yang tepat sampai ke setiap pelosok masyarakat,” jelasnya. 

Pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha strategik untuk memperkuat hubungan antara kerajaan dan wakil rakyat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat berjalan dengan lancar. 

Sinergi tersebut, menurut Anwar, adalah asas penting bagi memastikan keberkesanan setiap program dan bantuan kerajaan dalam menangani isu-isu yang membabitkan rakyat.