Anwar titip pantun penghargaan buat Prof Syed Muhammad

KUALA LUMPUR: Pelantikan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai Profesor Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, membawa makna yang besar kepada dunia Islam dan dunia pemikiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan itu memberi makna besar kepada seorang tokoh yang begitu berjasa kepada dunia Islam dan dunia pemikiran.

“Sepanjang hidup, saya amat bernasib baik kerana dapat mendampingi beberapa ilmuwan besar, dan Prof Al-Attas merupakan salah seorang daripada tokoh tersebut,” katanya menerusi Facebook pada Rabu.

Anwar turut mengenang bimbingan yang pernah diberikan Syed Muhammad Naquib semasa menjadi mahasiswa di Universiti Malaya dan ketika berkhidmat sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Bahkan dalam bidang falsafah, pengaruh beliau terhadap generasi kami begitu mendalam,” jelasnya.

Anwar juga menyatakan bahawa Syed Muhammad Naquib bukan sahaja seorang guru yang sedia mencurahkan ilmu, tetapi turut menjadi sahabat setia memberikan dorongan dan semangat dalam saat-saat genting.

Semasa beliau terbungkam di Kamunting, Syed Muhammad Naquib memberikan kata-kata dorongan melalui serangkap pantun:

Kemunting buah pedada,
Digoncang gugur tak jadi;
Bunga tersunting di atas dada,
Jasa pagar memakan padi.

Pantun tersebut memberikan kekuatan buat Anwar, dan beliau membalas dengan pantun sebagai tanda penghargaan:

Kemunting di dalam pagar,
Mekar layu gugur sendiri;
Dengan helah pencak pendekar,
Takkan tergugat pahlawan sejati.

Pelantikan ini turut mengukuhkan lagi peranan penting yang dimainkan oleh ilmuwan Islam dalam memperkasa pemikiran dan tamadun Islam di peringkat global.

Anda Mungkin Berminat