Gara-gara pekerja meludah, DBKL kenakan enam kompaun kesalahan lain

KUALA LUMPUR: Dua restoran di ibu kota dikenakan enam kompaun atas pelbagai kesalahan susulan video tular seorang pekerja restoran tersebut meludah semasa membungkus makanan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kompaun tersebut dikenakan setelah pihaknya membuat pemantauan segera susulan video tular itu.

“Merujuk kepada video viral baru-baru ini yang memaparkan seorang pekerja meludah semasa membungkus makanan pelanggan dan mendakwa pekerja tersebut berasal dari Restoran Deen di Publika, Mont Kiara atau Desa Sri Hartamas.

“DBKL ingin mengesahkan bahawa Restoran Deen hanya beroperasi di dua lokasi sahaja iaitu di Publika dan Desa Sri Hartamas. Kedua-dua premis Restoran Deen yang terlibat juga adalah berlesen.

“Bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual, DBKL telah menjalankan pemeriksaan ke atas kedua-dua restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Justeru, Restoran Deen di Publika itu dikenakan kompaun kerana pekerja tidak memakai penutup kepala dan apron di bawah serta pekerja yang tidak menerima suntikan typhoid.

Sementara itu, Restoran Deen di Desa Sri Hartamas pula menerima empat kompaun kerana beberapa kesalahan termasuk tidak memakai penutup kepala dan apron, sinki dapur tanpa perangkap minyak, lantai dapur kotor dan berminyak serta meletakkan bahan tepung terus di atas lantai.

DBKL menegaskan bahawa operasi pemeriksaan premis makanan akan terus dijalankan secara berkala untuk menjamin kebersihan dan keselamatan makanan. Orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang aduan mengenai kebersihan premis makanan kepada DBKL.

Anda Mungkin Berminat