Oleh: Haikal Tajuddin
PARLIMEN | Kerajaan disaran menaikkan cukai makanan yang lebih lemak, manis dan masin demi kesejahteraan rakyat.
Suhaizan Kayat (PH-Pulai) berkata hal ini kerana peningkatan tabiat makanan yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat hari ini yang menjadi punca utama kepada peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).
“Oleh itu, saya mencadangkan peningkatan cukai makanan yang tidak sihat dan menyarankan pihak swasta menawarkan harga yang murah kepada makanan yang berkonsepkan segar dan sihat,” jelasnya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 pada Rabu.
Selain itu, beliau turut mencadangkan satu insiatif khas rahmah nutrisi diberikan kepada wanita mengandung dan ibu menyusu perlu dibuat supaya melahirkan genetik yang lebih sihat.
“Sejak tahun 2022, seramai 21.2 peratus kanak-kanak berada pada paras terbantut manakala kurang berat badan pula dilaporkan pada paras 15.3 peratus. Ia juga turut diikuti dengan nilai susut badan sebanyak 11 peratus dan 6 peratus pula adalah bagi golongan kanak-kanak obesiti.
“Oleh itu, inisiatif ini wajar dilakukan dan memberi makanan sihat kepada ibu dalam tempoh seribu hari pertama kelahiran.
“Hal ini kerana, dalam tempoh tersebut, mereka dapat membantu untuk membangunkan pemikiran kanak-kanak yang dilahirkan,” ujarnya.
Terdahulu, pembentangan Belanjawan 2025 menyarankan agar cukai baharu ke atas minuman bergula pada kadar spesifik RM 0.40/liter.