KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan gelaran Profesor Diraja kepada tokoh intelektual Islam, Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dalam satu majlis di Istana Negara.
Syed Muhammad Naquib, 93 menerima anugerah tertinggi itu sebagai pengiktirafan atas jasa dan sumbangan beliau kepada negara, khususnya dalam bidang pendidikan Islam.
Majlis istiadat tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Syed Muhammad Naquib, yang juga pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), terkenal sebagai seorang pemikir peradaban Islam kontemporari.
Beliau amat dihormati dalam dan luar negara atas gagasan Islamisasi ilmu yang diketengahkannya, yang mempengaruhi pelbagai bidang pengetahuan seperti pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera, dan seni.
Gelaran Profesor Diraja merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada seorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar mereka kepada masyarakat dan kemajuan negara.
Sebelum ini, satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran tersebut ialah Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, yang dianugerahkan pada tahun 1978.