Tiada pengakuan direkodkan CEO GISBH dan 21 individu lain

Oleh: Hanim Nadia

SELAYANG: Tiada pengakuan direkodkan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan 21 individu lain yang dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen, dekat sini pada Rabu.

Kesemua tertuduh didakwa dibawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Hal ini kerana kes itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesemua tertuduh hanya mengangguk faham atas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa didepan Hakim, Lailatul Zuraida Harron@Harun.

Mengikut pertuduhan kesemua mereka didapati melakukan kesalahan itu diantara Oktober 2020 hingga September 2024 di 33-G Jalan Desa 9/6 Bandar Country Homes Rawang dalam Daerah Gombak, Negeri Selangor.

Selain Nasirudin, turut dituduh anak kepada bekas pengasas kumpulan Al-Arqam, Ashaari Muhammad, Mohammad Adib At-Tamimi.

Pasukan Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani, Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hamimi Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi.

Manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Rosli Kamaruddin, Zaim Rosli, Dorina Abdullah, Boestamam Ahmad dan M.Hafiz Zainal Abidin.

Peguam mewakili tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin dalam prosiding pertuduhan hari ini memohon agar jaminan dikenakan terhadap kesemua tertuduh sehingga kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun Hakim Lailatul Zuraida menolak permohonan itu kerana ia dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 23 Disember bagi pengurusan kes.

Pada 10 Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Selain itu, 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis.

Anda Mungkin Berminat