Oleh: Dr Anuar Ahmad
Saya ajukan soalan ini pada rakan-rakan di FB (Facebook). Saya juga ajukan soalan yang sama pada ibu bapa dan guru-guru yang sempat saya temui dalam beberapa acara, bila saya dijemput untuk sertai.
Rata-rata menjawab, ‘saya tidak rasa apa-apa’.
Ya, saya cenderung untuk setuju dengan pandangan majoriti ini. Kalau kita teliti sejak tiga tahun lalu, kita memang tidak dapat menelah dengan tepat apakah gelombang Reformasi Pendidikan sudah berlaku atau belum? Dan lebih sukar untuk ditelah ialah apakah sudah ada Reformasi Pendidikan yang dicapai?
Bagi berlaku adil dan lebih mudah difahami, saya pecahkan Reformasi Pendidikan negara kita kepada tiga yang paling utama.
Reformasi Fizikal Pendidikan, Reformasi Kurikulum Pendidikan dan Reformasi Jaringan Pendidikan.
Pada saya, Reformasi Fizikal Pendidikan sedang berlaku. Rancak. Tentulah kerana kuatnya iltizam PMX sendiri. Contohnya, bajet pendidikan (khusus untuk KPM sahaja) bertambah dari lebih RM55 bilion pada 2023 kepada RM58 bilion (2024) dan ditambah lagi kepada lebih RM64 bilion pada 2025. Peningkatan hampir RM10 bilion dalam tiga tahun sahaja sejak tahun 2023.
Contoh lain, pada bajet tahun 2023, bermula dengan sembilan buah sekolah baharu dibina, bajet tahun 2024 bertambah hampir 3 kali ganda kepada 26 buah dan pada bajet 2025 semakin bertambah kepada 44 buah sekolah baharu.
Bayangkan, jika kos kasar pembinaan sebuah sekolah adalah RM100 juta ringgit, maksudnya dalam tempoh tiga tahun ini sahaja (2023-2025), kerajaan bersetuju sediakan peruntukan hampir RM8 bilion untuk membina 79 buah sekolah baharu. Begitu juga juga dengan peruntukan penyelenggaraan bangunan serta menyelesaikan isu sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak yang telah ditambah tahun demi tahun.
Pada saya, Reformasi Fizikal Pendidikan negara kita sedang rancak berjalan. Tahniah pada PMX yang konsisten menjayakan Reformasi Fizikal Pendidikan negara.
Bagaimanapun, Reformasi Kurikulum Pendidikan nampaknya tidak begitu memberangsangkan. Sekadar beberapa intervensi kecilan (itu pun setelah didesak bertali arus oleh ibu bapa dan guru-guru), beberapa kempen dan libat urus yang bersifat adhoc, pembentukan berbagai jawatankuasa, acara pertandingan serta beberapa program STEM, kita belum merasai apakah sebenarnya hala tuju Reformasi Kurikulum pendidikan negara. Inilah yang sedang rakyat perhatikan. Masih banyak aspek Reformasi Kurikulum Pendidikan yang belum ditangani.
Reformasi Kurikulum merujuk kepada;
– Reformasi Pengajaran termasuk isu kesejahteraan guru,
– Reformasi Pembelajaran dan kesejahteraan murid
– Reformasi Silibus dan Teknologi Pendidikan
– Reformasi Pentaksiran Pendidikan
Reformasi Kurikulum nampaknya tidak begitu menyerlah. Tidak jelas tindakannya. Kabur. Tentu ini bukanlah tugas PMX lagi. Menjayakan Reformasi Kurikulum adalah dibawah tanggungjawab kepimpinan pendidikan negara. Merekalah yang perlu rancang, laksana dan pantau Reformasi Kurikulum Pendidikan ini. Malangnya, kita hanya dijanjikan akan ada Kurikulum Baharu 2027 yang belum nampak bayangnya lagi. Kita juga tidak jelas sejauh mana Kurikulum Baharu 2027 benar -benar berwajah ‘Reformasi Pendidikan’.
Sebenarnya, di bawah Reformasi Kurikulum Pendidikan inilah yang paling banyak isu ditimbulkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Malangnya kebanyakan isu tersebut seperti tertangguh. Tiada penyelesaian yang terbaik. Apa jadi dengan Isu UPSR atau PBD?, apa jadi isu silibus sekolah rendah yang berat, bagaimana dengan isu kekurangan guru, isu kemerosotan aliran sains tulen, isu keciciran pembelajaran 3M, isu beg berat etc. Bukan tidak ada langsung, memang ada usaha. Misalnya memperkenalkan Dasar Pendidikan Digital. Tetapi malangnya, rakyat khususnya ibu bapa, tak merasai gelombang reformasi kurikulum itu.
Satu lagi Reformasi Pendidikan ialah Reformasi Jaringan Pendidikan. Ini adalah masa depan pendidikan. Malangnya belum nampak dengan jelas hala tuju. PMX ada menyebut soal jaringan pendidikan ini dalam sesi pembentangan Bajet 2025 dengan mengalakkan penglibatan pihak swasta seperti membina dewan sekolah dan mendana program/aktiviti pendidikan di sekolah. Ada beberapa jaringan pendidikan yang telah berjaya tetapi kesannya belum meluas.
Jaringan Pendidikan merujuk kepada usahasama melibatkan pihak ibu bapa, industri dan komuniti dalam pendidikan anak-anak. Program Sekolah Amanah oleh Yayasan Amir, Program Anak Kita oleh Yayasan Hasanah, Program STEM oleh Shell, Exxon Mobil, penglibatan Maxis untuk Bahasa Inggeris dan program Apple Education untuk pendidikan digital adalah antaranya.
Tetapi setakat ini hanya melibatkan segelintir sekolah sahaja. Itu pun ‘bersepah’ di sana sini. Tiada penyelarasan yang bersepadu. Sedangkan kita mempunyai lebih 10,200 buah sekolah di seluruh negara yang melibatkan lebih 5 juta orang murid. Semua sekolah memerlukan jaringan pendidikan untuk murid-murid mereka.
Sebaiknya, tanggungjawab untuk menjayakan Reformasi Jaringan Pendidikan diterajui oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri bersama semua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah dan PGB. Berikan KPI untuk menjayakan Reformasi Jaringan Pendidikan kepada Pengarah JPN dan pasukannya. Elakkan diberi tanggungjawab ini pada guru-guru yang mempunyai KPI untuk mesti berada di dalam kelas untuk PDPc.
Bila bercakap soal Reformasi Pendidikan, pada saya nampaknya hanya Reformasi Fizikal Pendidikan sahaja yang begitu rancak dan menonjol, malangnya belum lagi jelas pada Reformasi Kurikulum Pendidikan dan Reformasi Jaringan Pendidikan.
**Penulis adalah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara dan sentiasa melontarkan pandangan mengenai pendidikan negara