Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan maaf atas segala kecurangan yang berlaku dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Najib menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan mendakwa telah ditipu oleh ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho (Jho Low) dan rakan-rakannya.
“Saya berasa amat terluka mengetahui bahawa segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.
“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia,” baca anak sulungnya Datuk Mohamad Nizar dalam satu sidang media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Najib mendakwa artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini menunjukkan bagaimana Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid, berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.
Namun, beliau mendakwa tidak tahu berkenaan perkara itu.
“Perbicaraan mahkamah baru-baru ini, sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini diterbitkan media (The Edge) yang berdasarkan analisis mereka terhadap kes itu serta e-mel dalaman PetroSaudi, sekali lagi membuktikan saya bukanlah dalang dan tidak bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB,” katanya.
Najib berkata, walaupun beliau telah memulakan pelbagai siasatan selepas kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku dalam 1MDB, beliau cenderung untuk mempercayai penjelasan lembaga dan pengurusan.
“”Apabila saya mula curiga tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam 1MDB, kebimbangan utama saya adalah kepada usaha memulihkan kedudukan kewangan dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dua hala pada peringkat tertinggi,” katanya.
Najib menegaskan bahawa walaupun beliau telah dihukum daripada segi politik, beliau bukanlah dalang pada segala penyelewengan 1MDB dan tidak pernah bersubahat dengan Jho Low.
“Saya masih lagi terkejut apabila mengetahui kepincangan dan perbuatan tidak bermoral serta pelanggaran undang-undang yang berlaku di 1MDB.
“Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC International Sdn Bhd (SRC) dan juga di 1MDB,” katanya.
Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.