Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Taufan Kristine (Trami) yang melanda Manila baru-baru ini masih belum reda dan kini satu lagi taufan bernama ‘Leon’ pula dijangka memasuki kawasan Filipina menjelang Ahad ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang memantau situasi terkini Taufan Kristine.
“Setakat hari ini, pergerakan angin taufan Kristine ini telah dikategorikan sebagai taufan tahap dua dan masih aktif di sekitar kawasan Metro Manila serta kebanyakan daerah di Luzon.
“Taufan tersebut dijangka akan keluar dari kawasan tanggungjawab Filipina lewat hari ini,” jelas kenyataan tersebut.
Namun, terdapat satu lagi taufan yang dinamakan ‘Leon’ berada 2,500 kilometer dari Visayas dan dijangka memasuki kawasan tanggungjawab Filipina menjelang 27 Oktober (Ahad).
Malaysia turut menzahirkan rasa takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat taufan tersebut.
Sementara itu, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dan terjejas dengan taufan tersebut.
“Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka digalakkan untuk berbuat sedemikian di https://ekonsular.kln.gov.my,” katanya.
Baca juga: