Oleh: Kamilia Ali
KUALA TERENGGANU: Seramai 35 Pendatang Tanpa Izin (PATI) ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu di Flat Sri Kolam, Marang dan Kuala Nerus pada 24 dan 25 Oktober lalu.
Timbalan Pengarah Imigresen Terengganu, Mat Amin Mat Hassan berkata, operasi itu melibatkan serbuan di beberapa rumah kongsi pekerja tapak pembinaan.
“Semasa serbuan, beberapa PATI cuba meloloskan diri, termasuk seorang lelaki warga Myanmar yang cuba memanjat keluar dari tingkap, namun berjaya ditahan.
“Sebanyak 218 warga asing diperiksa dalam operasi ini dan 35 PATI berusia antara 15 hingga 53 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, tujuh lelaki, dua kanak-kanak lelaki, seorang wanita Myanmar, tujuh lelaki Pakistan, tujuh lelaki Indonesia, serta seorang lelaki India,” katanya dalam satu kenyataan.
Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi masa.
“Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut,” katanya.
JIM Terengganu menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung keberadaan PATI yang disyaki menyalahi undang-undang untuk siasatan dan tindakan.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI.
Baca juga: