Penderaan kanak-kanak di Malaysia perlu dihentikan – KPWKM

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di Malaysia.

Jalinan kerjasama KPWKM bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melakukan siasatan pada 25 Oktober lalu berkaitan kanak-kanak yang tular di media sosial baru-baru ini yang didakwa didera oleh ibu bapanya sendiri.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KPWKM, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menjalankan siasatan berkenaan kes ini.

“Selesai pemeriksaan oleh pihak hospital, JKM akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak ini berdasarkan Seksyen 25 (2)(b), Akta Kanak-Kanak 2001,” kata kenyataan tersebut.

KPWKM serius mengambil tindakan segera bagi kes-kes yang berlaku dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak.

Selain itu, kementerian juga komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Kementerian turut memastikan tindakan tegas diambil terhadap pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

Pada 24 Oktober lalu, satu kes penderaan kanak-kanak berusia empat tahun yang didakwa telah didera oleh ibu bapanya menjadi perhatian umum.

KPWKM menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes penderaan supaya menghubungi pihak polis atau Talian Kasih KPWKM di talian bebas tol 15999 atau pesanan aplikasi Whatsapp di nombor 019-2615999.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat