Pengajar, pelajar Hindu IPTA laksana kuliah hibrid sempena Deepavali – KPT

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Sempena sambutan perayaan Deepavali pada 31 Oktober depan (Khamis), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan kemudahan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid.

Pelaksanaan itu bertujuan memudahkan urusan pelajar dan pengajar beragama Hindu untuk meraikan sambutan Deepavali bersama keluarga masing-masing.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KPT, melalui perbincangan KPT bersama jabatan terlibat, kemudahan sesi PdP ini akan bermula pada 28 hingga 30 Oktober 2024 (Isnin hingga Rabu) dan juga pada 1 November 2024 (Jumaat).

“Sesi PdP secara dalam talian atau hibrid khusus kepada pelajar serta pengajar beragama Hindu di seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti) bagi meraikan sambutan pesta cahaya itu,” kata kenyataan itu.

Di kesempatan ini, kementerian juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, pengajar, warga KPT dan seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu.

Untuk makluman, 31 Oktober 2024 telah diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Persekutuan sempena Hari Deepavali di Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat