Pengakuan tidak bersalah Najib, tiada erti – Penganalisis

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Tindakan Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kes salah laku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan berjiwa besar, namun pengakuan tidak bersalah beliau di ruang awam adalah tidak tepat.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub mengulas bahawa, segala proses pengakuan dan maklumat kes hanya diterima di dalam mahkamah sahaja.

“Bagi saya adalah tidak tepat beliau membela diri di ruang awam dalam konteks beliau tidak mengakui kesalahan sebahagian besar tersebut.

“Kita mempunyai proses mahkamah dan sebarang pengakuan fakta dan maklumat perlu diketengahkan di mahkamah supaya keadilan ditegakkan dan masyarakat tidak membuat kesimpulan yang tersendiri,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika dihubungi.

Dr Tawfik berkata demikian ketika mengulas tindakan Najib membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Pada Khamis lalu, dalam kenyataan dibacakan anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif syarikat PetroSaudi.

Permohonan maaf Najib itu dikemukakan beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Sementara itu, Dr Tawfik berpandangan bahawa dalam aspek politik kepimpinan, setiap pemimpin perlu mempunyai sikap berjiwa besar yang menunjukkan mereka sanggup bertanggungjawab dan menerima kesan dalam isu-isu yang timbul sepanjang pemerintahan.

“Najib yang membuat permohonan maaf tersebut adalah sikap bertanggungjawab, berjiwa besar beliau terhadap negara dan rakyat secara keseluruhannya untuk memikul tanggungjawab atas apa yang telah berlaku.

“Ketika mengetuai Barisan Nasional (BN) yang tewas dalam Pilihan Raya Umum (2018), beliau menerima secara terbuka malah mengundur diri sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO secara sukarela,” katanya.

Ketika ditanya adakah tindakan Najib itu bertujuan meraih simpati terhadapnya, Dr Tawfik berkata, isu meraih simpati itu tidak timbul kerana beliau masih di penjara dan tidak memegang jawatan utama dalam parti serta tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Anda Mungkin Berminat