Polis siasat kes pembunuhan lelaki depan pasar raya

Oleh: Kamilia Ali

IPOH: Seorang lelaki maut ditemui terbaring tidak sedarkan diri dan tidak bernyawa di hadapan pintu masuk sebuah pusat beli belah, Econsave Klebang, di sini, Perak, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Polis Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 64 tahun ditemui dalam keadaan terbaring.

“Susulan itu, mangsa didapati tiada kesan kecederaan di tubuhnya dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Permaisuri Bainun (HRPB) bagi tujuan bedah siasat.

“Pada tarikh yang sama, polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang wanita warga tempatan berumur 24 tahun dan telah direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 1 November 2024 bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan rekod jenayah ke atas tangkapan menunjukkan wanita berkenaan tiada sebarang rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian dan mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian ini.

“Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat,” jelasnya.

Justeru, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini, diminta tampil memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat kes, Sukjit Singh Jagara Singh di talian 019-55055536 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat