‘Transporter’ dadah tumpas, polis temui 512 gram dadah bernilai hampir RM31,000

Oleh: Haikal Tajuddin

TAWAU: Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah (OBPJ) berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai sebagai tukang penghantar dadah (transporter).

Dalam operasi di tepi Jalan Kawan Kampung Wakuba, Sabah, polis menemukan 512.90 gram syabu disembunyikan dalam sebuah alat pembesar suara.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, penahanan suspek warga asing itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau selepas beliau dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati alat pembesar suara yang dibawa suspek menyembunyikan 10 paket plastik lutsinar berlainan saiz berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Dianggar berat kasar dadah tersebut adalah 512.90 gram dengan nilai RM30,930.00,” jelas ACP Jasmin.

Siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai ‘transporter’ dadah untuk dikirimkan kepada individu lain di sekitar Tawau.

“Suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika didapati bersalah,” katanya.

Pihak polis turut menyita motosikal yang digunakan suspek tersebut.

Dalam operasi OBPJ ini, lapan individu berkaitan dadah dan empat orang berkaitan jenayah termasuk jenayah pecah rumah dan kekerasan turut ditangkap.

PDRM Tawau akan terus mempergiatkan operasi penangkapan untuk memastikan daerah Tawau bebas daripada ancaman jenayah dan dadah.

Orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat bagi membantu mengekang jenayah sebegini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat