Oleh: Shafira Aziz
PELAKON dan usahawan terkenal, Fazura tampil menyuarakan sokongan terbuka kepada Puteri Balqis berhubung kontroversi yang melibatkan fitnah terhadap ibu pelakon remaja itu, Norashikin Mohd Aziz.
Fazura meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang melemparkan komen buruk tanpa memikirkan kesannya kepada mangsa.
“Ruginya manusia yang tidak pandang kiri kanan atau hari esok bila berkata.
“Hanya tahu sedap mulut dan tangan nak menulis tanpa fikir perasaan orang lain dan akibatnya,” kata Fazura dalam hantaran di Instagram Story pada Ahad.
Hantaran ini hadir selepas Puteri Balqis, 17, meluahkan kekecewaan terhadap komen warganet yang mendakwa ibunya mengambil bahan terlarang.
Balqis mendedahkan bahawa ibunya, yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kecelaruan stres pascatrauma (PTSD), telah beberapa kali menjalani ujian air kencing di balai polis untuk membuktikan kebenaran.
“Saya tak faham kenapa komen seperti ini perlu dibuat. Mak saya ulang alik hospital, buat ujian, tapi masih juga difitnah,” luah Balqis menerusi video di TikTok.
Dalam sokongan padu kepada Balqis, Fazura menyeru semua pihak agar tidak menghukum tanpa fakta.
“Jangan sedap menghukum tanpa kebenaran sebenar. ‘Stay strong’ adikku Balqis. Percaya Allah sentiasa melihat dan mendengar,” katanya.
Fazura turut menegaskan betapa pentingnya masyarakat menjauhi sifat-sifat negatif seperti memfitnah, dan mengingatkan bahawa setiap perbuatan akan menerima balasan setimpal daripada Allah.
“Semoga kita ambil pengajaran dan menjauhi sifat-sifat syaitan,” tambahnya.