Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, tampil menafikan penglibatannya dalam satu rakaman audio tular yang didakwa melibatkan dirinya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.
Rakaman tersebut memaparkan perbualan telefon yang dikaitkan dengan isu kebun durian Musang King di Raub dan mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, terlibat dalam kegiatan rasuah.
Young Syefura yang juga Timbalan Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAP) menegaskan rakaman suara tersebut bukan miliknya dan menyifatkannya sebagai fitnah serta usaha menjatuhkan reputasi mereka bertiga.
“Saya menafikan suara itu milik saya. Ini jelas satu serangan politik kotor yang bertujuan melaga-lagakan kami dalam DAP dan cuba merosakkan reputasi kami,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau juga memaklumkan telah membuat laporan polis bagi menyiasat perkara itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya jika isu ini berpanjangan.
“Kita serahkan siasatan kepada pihak polis. Sekiranya perkara ini berlarutan, saya akan ambil langkah seterusnya,” tambahnya.
Tengku Zulpuri turut senada dengan Syefura, menafikan penglibatannya dalam rakaman tersebut.
“Itu bukan suara saya. Ini fitnah yang bertujuan melaga-lagakan kami,” ujarnya.
Chow Yu Hui, yang turut terkesan dengan fitnah tersebut, menyatakan bahawa beliau telah menghubungi kedua-dua wakil rakyat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.
“Mereka sahkan rakaman itu bukan suara mereka. Ini jelas usaha jahat untuk mencetuskan konflik melalui taktik kotor,” kata Chow.
Kontroversi tersebut timbul dalam konteks perbalahan undang-undang melibatkan 204 pekebun Musang King di Raub, yang sebelum ini gagal mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang untuk mengosongkan kebun mereka.
Isu ini terus mendapat perhatian, dengan pelbagai pihak mendesak agar tanah tersebut dipajakkan kepada pekebun bagi menyelesaikan pertikaian yang berlanjutan.