99 pemegang lesen CSA sahut ‘Kita Gempur’ KPDN

Oleh: Hanim Nadia

TAWAU: Sebanyak 99 syarikat menyatakan komitmen bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperluaskan program Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) ke seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata berkata, semua syarikat terbabit yang juga rakan strategik KPDN adalah pemegang Lesen Bagi Barang Kawalan Berjadual (CSA) sekitar daerah Tawau.

“Ia terdiri daripada pengangkut (30 syarikat) di bawah Program Barang Perlu, syarikat pembungkus minyak masak (7), pemborong dan peruncit (21), pengusaha stesen minyak (29) dan 17 wakil pengguna setempat.

“Syarikat ini kita tuntut, jemput dan minta komitmen daripada mereka yang merupakan salah satu komponen penting dalam rantaian bagi memastikan barang-barang kawalan dan bersubsidi sampai kepada golongan sasar,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kita Gempur @Tawau di Pasar Sentral, Bandar Sri Indah pada Isnin.

Jelas Armizan, program Kita Gempur adalah inisiatif kerajaan terajui KPDN untuk membabitkan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan orang ramai dalam usaha membanteras penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi serta manipulasi aktiviti perniagaan termasuk penipuan dalam talian dan pakatan kartel.

“Gerakan ini cukup penting kerana matlamat kita adalah untuk membanteras kegiatan penyelewengan dan ketirisan selain sebagai isyarat bahawa kerajaan MADANI hari ini komited subsidi terus diberikan dan sampai kepada rakyat.

“Kita tidak mahu manipulasi dan ketirisan ini menjadi satu sistemik yang pada satu tahap jika tidak dikawal atau dibanteras akan menjadi satu normalisasi dalam masyarakat,” katanya.

Armizan meminta semua pihak termasuk orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang bentuk aktiviti penyelewengan dan penyeludupan kepada pihak berkuasa.

Anda Mungkin Berminat