Oleh: Haikal Tajuddin
PUTRAJAYA: Kerajaan bertanggungjawab memberi tumpuan kepada keperluan rakyat terutama kumpulan miskin tegar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata untuk itu Kerajaan perlu kental membasmi aktiviti-aktiviti rasuah, penyelewengan, tamak dan mengaut keuntungan demi kepentingan peribadi.
“Kerajaan jatuh kerana rasuah, penyelewengan, tamak haloba dan kaut harta yang bukannya hak mereka dan kita perlu elakkan daripada hal sedemikian berlaku dan tumpu kepada sesuatu.
“Belum pernah tercatat dalam sejarah, pemerintah kalah kerana menolong orang miskin. Malah, mengambil rasuah itu mudah untuk jatuh dan kalah.
“Itu adalah cabaran, tapi Alhamdulillah saya bersyukur selain dari masalah itu, kita masih catat perubahan yang besar dari segi semikonduktor, pelaburan terbesar dan sebagainya semua di Malaysia,” ujarnya ketika berucap sewaktu Majlis Peluncuran Pembangunan Perumahan Residensi Madani pada Isnin.
Justeru, katanya kadar kemiskinan sukar dinoktahkan kerana rasuah berakar umbi daripada penjawat awam mahu pun politik dan juga pengusaha.
“Pemaju-pemaju tidak mahu bagitahu tapi saya tahu.
“Kalau dulu, ada satu sumbangan, kalau naik kepada satu tingkat akan ada kos dikenakan kepada pembeli dan perkara itu wajar diberhentikan.
“Selepas itu, rumah untuk orang miskin susah dapat kelulusan. Mesti akan lambat dengan alasan komisennya sedikit. Tetapi, rumah mewah semua mudah dapat kelulusan.
“Habis, kalau kos jualan adalah mahal, jadi orang susah nak duduk di mana. Perkara ini tidak boleh bertolak ansur dan pastikan perkara ini dibanteras supaya tidak menderakan rakyat,” jelasnya.