Shahidan sokong Belanjawan 2025

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN | Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan sokongan terhadap Belanjawan 2025, namun beliau mempersoalkan mengenai peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Dakwanya, kerajaan telah membelanjakan peruntukan tersebut tanpa pengetahuan mereka.

“Kita tidak ada masalah untuk menyokong bajet ini, saya akan angkat 12 tangan. Kami akan sokong bajet RM3.8 juta kepada ahli parlimen kerajaan dapat, tetapi kami tidak dapat.

“Tetapi, (sila) bagi hak kami, ini permintaan kami…Kita jumpa di akhirat. Duit ini duit amanah, sama ada kita pecah amanah atau tidak,” katanya ketika sesi perbahasan belanjawan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, Shahidan juga menekankan isu padi perlu diberi perhatian kerana dakwanya kos pengeluaran padi semakin tinggi dan keluhan petani yang perlu membeli beras import untuk kegunaan harian susulan ketiadaan beras tempatan.

Justeru, beliau mencadangkan kepada Kerajaan untuk tidak mengapung beras import kerana dakwanya jika harga beras tidak naik, maka harga barang lain juga tidak akan menaik.

“Gaji minima RM1,700… tetapi kita tidak melihat bahawa harga lantai padi cukup penting kerana kos pengeluaran padi yang tinggi dan dalam masa sama petani buat aduan, di mana beras kami?

“Kami (petani) mengeluarkan beras, beras tempatan tidak ada. Petani juga terpaksa beli beras import. Ini satu perkara yang jarang berlaku di dunia, hanya di Malaysia.

“Saya nak cadangkan jangan apung beras import. Cara kita nak lihat ‘pattern’ kenaikan harga barang, dia ikut harga barang utama,” katanya.

Shahidan juga menyentuh mengenai isu pemalsuan kad pengenalan yang semakin berleluasa dan digunapakai oleh warga asing.

Cadangnya, Kerajaan perlu mengeluarkan kad pengenalan baharu untuk mengesan mereka yang menggunakan kad pengenalan palsu ini.

Anda Mungkin Berminat