PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan inisiatif baucar buku bernilai RM100 kepada para pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sebagaimana telah dilaksanakan pada Jun lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, KPT memaklumkan pelaksanaan fasa kedua dijadual bermula 30 Oktober hingga 31 Disember yang akan memanfaatkan lebih 1 juta pelajar IPT warganegara Malaysia.
“Bagi fasa kedua, penyaluran baucar akan dilaksanakan melalui pelantar digital kepada pelajar IPT yang berdaftar di bawah KPT dan berstatus aktif sehingga 31 Mac 2024.
“Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal MySISWAPLACE di pautan https://mysiswaplace.my bermula 30 Oktober 2024.
“Penebusan kod baucar yang terjana di portal hanya sah digunakan untuk pembelian buku di portal MySiswaPlace sahaja; dengan setiap pelajar layak menebus baucar berjumlah RM100,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Kenyataan itu turut menyebut ia membantu pelajar dengan menyediakan akses mudah dan cepat kepada bahan bacaan melalui pelantar atas talian sekali gus memaksimumkan keberkesanan pembelajaran dan mengurangkan kesulitan.
Majlis Peluncuran MySiswaPlace akan disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi esok.
“KPT berharap inisiatif ini dapat membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekali gus dapat memugar budaya membaca dalam kalangan pelajar IPT serta bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan,” katanya.
Untuk rekod, portal MySiswaPlace di bawah kendalian Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang juga agensi rasmi KPT memudahkan urusan para pelajar menggunakan inisiatif ini.