HIZBULLAH pada Selasa telah mengumumkan Naim Qassem sebagai ketua baharunya.
Qassem, Timbalan Ketua Hizbullah menggantikan Hassan Nasrallah yang maut dalam serangan Israel di selatan Beirut, bulan lalu.
“Majlis (pentadbiran) Syura Hizbullah bersetuju untuk mengundi… Sheikh Naim Qassem sebagai Setiausaha Agung Hizbullah,” katanya seperti dilapor Al Jazeera.
Qassem, 71, adalah antara pengasas Hizbullah pada 1982 dan dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Jeneral sejak 1991, iaitu setahun sebelum Nasrallah mengambil alih kumpulan berkenaan.
Beliau dilahirkan di Beirut pada 1953 dan berasal daripada keluarga dari kampung Kfar Fila di sempadan dengan Israel.
Selepas Nasrallah secara umum bersembunyi susulan perang kumpulan itu dengan Israel pada 2006, beliau muncul sebagai pegawai paling senior yang berterusan membuat penampilan awam.