Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama di negara ini yang bersetuju menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan itu berlaku atas persetujuan Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi TNB, susulan pembentangan Belanjawan 2025.
“TNB adalah GLC pertama yang menyahut seruan kerajaan mengenai gaji minimum kepada semua anggota TNB,” kata Anwar.
Menurutnya, selain menaikkan gaji minimum Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi TNB turut meluluskan kenaikan gaji dan pendapatan bagi seluruh warga kerja TNB.
“Kenaikan gaji dan pendapatan ini haruslah selaras dengan kenaikan dedikasi dan prestasi anggota kerja TNB,” katanya sewaktu Majlis Pelancaran Bangunan Platinum TNB.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan, berkuatkuasa mulai 1 Februari 2025.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah organisasi dan syarikat tidak dapat dicapai tanpa usaha dan komitmen daripada semua peringkat pekerja.
Menurutnya, usaha ini dilakukan oleh TNB yang tidak hanya mencatat keuntungan, tetapi juga menjaga kebajikan kakitangannya.
Selepas 75 tahun, TNB telah mencipta sejarah dan mencapai kecemerlangan dalam industri elektrik di negara ini.