Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan kerjasama antara pelbagai agama dalam memastikan perpaduan dan keharmonian negara terus diperkukuh.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Cor Episcopa Philip Thomas yang berlangsung, hari ini.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk bertukar pandangan dan memahami keperluan masyarakat pelbagai agama.
“Saya mendengar hal-hal terkait kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan antara agama merupakan kunci kepada kemajuan Malaysia.
“Kerjasama erat antara pelbagai agama adalah kunci kepada keharmonian dan kemajuan negara kita,” tambahnya.
Anwar optimis bahawa usaha bersama ini akan mewujudkan sebuah Malaysia yang lebih inklusif dan sejahtera untuk semua.
Selain memperkukuh hubungan antara agama, perbincangan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan hak kebebasan beragama dihormati di bawah kerangka Perlembagaan.
“Moga usaha kita bersama akan terus mengukuhkan ikatan perpaduan dan keharmonian di dalam negara tercinta ini,” ujarnya.