Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: UMNO akan terus memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk memastikan beliau mendapat keadilan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkannya untuk membela diri atas 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada Rabu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin bekas Perdana Menteri itu di pihak yang benar.
“Mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga sebagai seorang sahabat, kami yakin Najib berada di pihak yang benar.
“Kami akan terus memberikan sokongan untuk memastikan beliau mendapat keadilan. Kami juga akan sentiasa mendoakan agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1MDB dibawa ke muka pengadilan dan mudah-mudahan beliau diberikan keadilan sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid menegaskan kenyataan itu diberikan tanpa sebarang niat untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membuat dapatan prima facie selanjutnya untuk Najib membela diri.
“Saya dengan rasa penuh penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang dan tanpa sebarang niat untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membuat dapatan prima facie selanjutnya memanggil untuk membela diri.
“Keputusan ini bukanlah satu pengesahan bahawa beliau telah terbukti bersalah, tetapi adalah ruang dan peluang Najib untuk membela diri dan membuktikan diri beliau tidak bersalah,” katanya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib dibicarakan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.
Namun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Februari lalu bersetuju memendekkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun dan denda dikurangkan separuh.