KUALA LUMPUR:(KEMASKINI) Datuk Seri Najib Razak diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan nilai RM2.3 bilion suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjawat jawatan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan memilih intuk memberikan keterangan bela diri daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal oleh pihak pendakwaan.
Najib yang juga bekas perdana menteri dan menteri kewangan didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Tarikh keputusan di akhir kes pendakwaan itu ditetapkan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, pada 3 Oktober lalu selepas selesai mendengar hujahan melalui prosiding berlangsung selama 12 hari yang dikemukakan pihak pendakwaan dan peguam bela Najib.
Sekiranya hakim bicara mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib, maka beliau hendaklah membela diri terhadap semua tuduhan berkenaan, dan mahkamah sama akan membuat keputusan sama ada beliau bersalah atau tidak, di akhir kes pembelaan.