KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Mahkamah Kompleks Kuala Lumpur kira-kira 9.47 pagi hari ini.
Ketibaan beliau adalah bagi meneruskan keterangannya dalam perbicaraan saman fitnahnya terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu ‘Kutty’.
Perbicaraan dijadual bermula jam 10 pagi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
Sebelum ini, kes itu ditangguhkan selepas bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan paru-paru.
Peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi dilaporkan berkata, bekas Perdana Menteri berusia 99 tahun itu mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada petang Selasa dan diberi cuti sakit selama 12 hari.
Susulan itu, perbicaraan kes yang dijadualkan berlangsung selama dua hari dilapangkan dan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong menetapkan perbicaraan bersambung pada 29, 30 Oktober serta 5, 6 dan 9 Disember depan.
Hari ini, mahkamah akan mendengar keterangan Dr Mahathir diikuti anaknya, Datuk Seri Mukhriz kemudian, Ahmad Zahid.