Oleh: Kamilia Ali
SELEPAS kerugian melabur dalam industri fesyen, warga maya mahu Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah menukar modus operandi mereka kepada industri makanan pula.
Rata-rata mereka mahu kedua-dua agensi Kerajaan itu memberi fokus kepada sektor pertanian dan penternakan yang akan memberi lebih pulangan kepada negara berbanding industri fesyen.
Menerusi satu ciapan di aplikasi X yang dimuat naik oleh pengguna @pudynzayn menyatakan bahawa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) perlu memberi peluang berserta dana yang mencukupi buat usahawan menternak ayam dan sektor penternakan bagi meningkatkan pasarannya.
“Khazanah patut suntik dana berjuta dekat usahawan seperti ini,” ujarnya.

Rata-rata warganet juga bersetuju berkenaan Khazanah perlu memberi perhatian lebih kepada sektor pertanian, khususnya dalam mendukung inisiatif penternakan ayam bebas daripada suntikan bahan kimia.
Dalam pada itu, netizen membanjiri ruangan komen dengan perbandingan kos yang disalurkan terhadap sektor yang sepatutnya yang lebih menjamin masa depan negara.
“Saya rasa better Khazanah melabur dekat usahawan atau petani moden berbanding industri fesyen, gahkan keselamatan makanan,” tambah pudyn.
“Membazir duit pada fesyen buat apa, sepatutnya pelaburan kepada industri pertanian, penternakan, beras dan lain-lain. Kita kena ingat satu hari akan ada krisis makanan, jadinya kita kena bersiap sedia dari awal,” komen Zukurinkachi.
“Bagi dana kepada usahawan yang mengusahakan sektor pertanian memang salah satu perkara terbaik bagi menjana ekonomi setempat,” kata AshkylMc.

Oleh itu, netizen mengharapkan agar Khazanah negara menyuntik modal ke dalam sektor pertanian lestari ini bagi mencerminkan hasrat rakyat untuk menikmati makanan yang lebih selamat dan berkhasiat.
Pada 2018, Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah melabur sejumlah RM47 juta (Khazanah: RM27 juta, PNB: RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet.
Khazanah dan PNB kemudian menjual pegangan mereka pada penghujung 2023 kepada NXBT Partners Sdn Bhd, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang dikawal oleh Afzal Abdul Rahim, CEO TIME dotCom Bhd.