Malaysia tegas tidak iktiraf rejim Myanmar


Oleh: Shafira Aziz

MALAYSIA baru-baru ini menghantar delegasi ke Mesyuarat kali ke-24 Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) Campur Tiga yang diadakan secara dalam talian pada 25 Oktober lalu.

Mesyuarat yang dipimpin oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup menegaskan bahawa penyertaan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan kepada rejim tentera Myanmar sebagai Kerajaan Myanmar yang sah.

Pendekatan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mempertahankan prinsip keadilan dan kemanusiaan di peringkat global.

Mesyuarat tersebut turut melibatkan 10 negara anggota ASEAN bersama negara-negara Campur Tiga, termasuk China, Jepun dan Republik Korea.

Platform ini memberikan peluang kepada negara-negara untuk membincangkan kerjasama dalam bidang pertanian dan perhutanan, serta memperkukuh kecekapan pengeluaran dan rantaian bekalan makanan.

Dalam sesi tersebut, Malaysia telah menyampaikan penghargaan kepada negara-negara Campur Tiga atas komitmen mereka dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan serantau.

“Kami menekankan pentingnya kerjasama dalam memastikan keselamatan makanan dan bantuan kemanusiaan, terutama dalam menghadapi situasi kecemasan akibat bencana alam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Satu perkara penting yang ditekankan oleh Malaysia adalah komitmen untuk terus menyokong program-program yang dirangka di bawah ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR) bagi memastikan bantuan yang tepat pada masanya dapat diberikan kepada negara yang memerlukannya.

“Sumbangan beras yang diberikan akan memperkuatkan usaha kita untuk menangani krisis makanan di rantau ini,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat