Ops khas motosikal JPJ bermula hari ini

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan, bermula hari ini hingga 31 Disember di seluruh negara.

Operasi ini memberi tumpuan kepada penunggang dan pemilik motosikal dalam memastikan pematuhan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan di bawahnya.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata operasi khas tersebut dilaksanakan susulan statistik kemalangan yang semakin membimbangkan dengan peningkatan kematian bulanan, khususnya melibatkan penunggang motosikal.

“Statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kemalangan maut membabitkan motosikal mencatatkan sebanyak 1,908 kes atau 70 peratus.

“Bagi menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ketiga dan keempat tahun 2024, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aedy Fadly, JPJ akan memberi tumpuan kepada lapan kesalahan utama sepanjang operasi ini, antaranya tiada lesen memandu, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, melanggar lampu isyarat, mengubah suai kenderaan secara ekstrem, tidak memakai topi keledar, berlumba haram, serta beberapa kesalahan teknikal lain.

Sehubungan itu, JPJ memohon kerjasama daripada semua pengguna jalan raya, terutamanya penunggang dan pembonceng motosikal, agar sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama.

“Usaha ini juga adalah untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM).

“Pihak JPJ turut menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau real time menerusi Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat