Warga asing maut selepas terjatuh dari jejantas


Oleh: Shafira Aziz

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Sri Lanka berusia lingkungan 30-an maut dalam satu insiden pada petang Khamis selepas terjatuh dari jejantas yang menghubungkan JB Sentral dengan Bangunan Sultan Iskandar, di sini.

Kejadian menggemparkan orang ramai sekitar jam 4.48 petang itu berlaku apabila mangsa, dipercayai bekerja sebagai operator kilang, jatuh dari jejantas lalu menimpa sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang sedang bergerak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata hasil siasatan awal mendapati bahawa mangsa cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen di bangunan tersebut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pihak polis juga memaklumkan bahawa bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sultanah Aminah bagi mengesahkan punca kematian, namun hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat dalam insiden ini.

Kes turut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini digalakkan untuk menghubungi IPD Johor Bahru Selatan melalui talian hotline di 07-2182323 bagi membantu siasatan lanjut.

Anda Mungkin Berminat