TAHNIAH buat enam saintis Malaysia yang melakar sejarah dengan tersenarai antara dua peratus saintis terbaik dunia bagi tahun 2024.
Keenam-enam tokoh akademik itu masing-masing daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Mereka disebut dalam petikan oleh Universiti Standford baru-baru ini seperti diuar-uarkan oleh badan bukan kerajaan, Persatuan Akademia IKRAM Malaysia.
“… dengan berbesar hati mengucapkan tahniah kepada ahlinya yang tersenarai antara dua peratus saintis terbaik di dunia berdasarkan impak.
“Ahli akademik yang dihormati ialah Dato’ Prof Dr Mohd Ali Bin Hassan (UPM), Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin (UPM), Prof Dr Zulkarnain bin Zainal (UPM), Prof Dr Azman bin Hassan (UTM), Prof Dr Madzlan bin Aziz (UTM) dan Prof Dr Zainal Alimuddin bin Zainal Alauddin (USM).
“Pengiktirafan global ini membayangkan bahawa komitmen dan kecemerlangan sepanjang hayat mereka terhadap penyelidikan, pembangunan dan inovasi telah memberi kesan sepanjang kerjaya mereka.
“Sertai kami untuk mengucapkan tahniah kepada penyelidik ini yang terus berusaha untuk mengembangkan pengetahuan dan menyumbang pengaruh positif dalam dunia akademik,” katanya dalam satu kenyataan media.
Untuk rekod, pengiktirafan senarai dua peratus terbaik dunia ditentukan oleh beberapa metrik utama iaitu Skor C, indeks h dan bilangan petikan dengan dan tanpa petikan sendiri, peratusan bidang dan sub bidang.
Selain itu, para saintis dikelaskan kepada 22 bidang dan 176 sub bidang. Hanya mereka yang menduduki dua peratus teratas sub bidang sahaja disertakan termasuklah mengambil kira sumbangan jangka panjang dan pencapaian terkini.