ANKARA: Sekurang-kurangnya 55 lagi warga Palestin terbunuh dalam serangan terkini Israel di Semenanjung Gaza sekali gus menjadikan angka korban sejak tahun lalu mencecah 43,259, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian melaporkan sekitar 101,827 orang turut cedera akibat serangan yang masih berlanjutan ini.
“Dalam tempoh 24 jam terakhir, tentera Israel telah membunuh 55 individu dan mencederakan 186 lagi dalam tiga kejadian pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga,” ujar kementerian itu.
“Ramai lagi yang masih terperangkap di bawah runtuhan serta di jalan-jalan kerana penyelamat sukar untuk sampai kepada mereka,” tambah kenyataan tersebut.
Di sebalik gesaan gencatan senjata segera dari Majlis Keselamatan PBB, Israel meneruskan operasi berskala besar terhadap Gaza sejak serangan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.
Konflik ini juga telah mengusir hampir keseluruhan penduduk Gaza yang kini berhadapan dengan sekatan yang berpanjangan sehingga menyebabkan kekurangan teruk dalam bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.
Sementara itu, usaha mediasi yang diketuai oleh Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar untuk mencapai gencatan senjata serta perjanjian pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas masih menemui jalan buntu disebabkan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk menghentikan serangan.
Selain itu, Israel kini menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakan mereka di Gaza.