Oleh: Kamilia Ali
KUCHING: Polis masih mencari seorang lelaki yang dipercayai suspek kejadian kebakaran melibatkan sebuah kenderaan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dekat sini pada 23 Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis Mohd Farhan Lee Abdullah, seorang suspek lelaki telah pun dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Khianat Dengan Api) di Mahkamah Sesyen Kuching.
“Suspek dituduh mengikut kanun berikut yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan boleh dikenakan denda.
“Walaubagaimanapun, terdapat seorang lagi lelaki iaitu Nasaruddin Abu Bakar, 42, berbangsa Melayu masih diperlukan bagi membantu siasatan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan lelaki tersebut dengan menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching di talian 082-24444 atau di mana-mana balai polis berhampiran.
Mohd Farhan turut menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang kerana tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat.