Ulasan | Madani perkasa ekonomi komuniti India

Oleh: Prof. Madya Dr Suhaimee Saahar@Saabar

DALAM pembentangan Belanjawan 2025, usaha-usaha meringankan beban rakyat sentiasa diambil pertimbangan penting dalam memastikan aspek kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan betapa pentingnya meringankan kos sara hidup bagi semua rakyat Malaysia, termasuk komuniti India yang memainkan peranan penting dalam ekonomi dan budaya negara.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan MADANI bertekad untuk mengurangkan beban hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif yang inklusif dan mampan. Kesejahteraan semua kaum adalah penting untuk masa depan Malaysia dan seruan untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi teras utama perjuangan kerajaan pada hari ini. 

Untuk mengurangkan dan meringankan kos hidup dan meningkatkan pendapatan keluarga berpendapatan rendah bantuan tunai dalam bentuk elaun tunai tetap setiap bulan terutama kepada isi rumah B40 dilihat  dapat membantu keluarga menampung kos keperluan asas seperti makanan, pendidikan, dan perbelanjaan harian.

Bantuan ini bertujuan untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan, terutamanya bagi golongan yang paling terkesan dalam masyarakat. Ini memberikan kelegaan bagi kumpulan ini mengharungi kehidupan mereka dalam menguruskan tekanan dan bebanan yang sering mereka hadapi. 

Subsidi dan bantuan tunai

Kerajaan juga turut memperkenalkan subsidi untuk barangan keperluan tertentu yang menjadi keutamaan bagi komuniti India. Subsidi ini termasuk barangan asas seperti beras, minyak masak, dan tepung, yang memastikan harga barangan ini kekal stabil. Inisiatif ini adalah lanjutan dari Belanjawan 2023 dan 2024, di mana kerajaan telah memperkenalkan subsidi dan bantuan tunai untuk kos sara hidup, sebagai langkah proaktif menangani kenaikan harga.

Usaha ini masih diteruskan oleh kerajaan MADANI bagi membantu kumpulan ini agar setiap bantuan yang diberikan boleh digunakan dan dimanfaatkan oleh setiap ahli keluarga dalam konteks kerangka keluarga MADANI. 

Dalam usaha menangani kos sara hidup secara menyeluruh, aspek pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan akan memberi akses yang lebih luas dan bermanfaat dalam mewujudkan lagi guna tenaga berkemahiran dalam kumpuan ini.

Melalui program latihan kemahiran yang disediakan, kerajaan menyediakan laluan alternatif untuk belia yang ingin memperoleh kemahiran praktikal dalam bidang yang relevan dengan pasaran kerja semasa. Peluang ini perlu diambil dan dimanfaatkan melalui sokongan daripada pihak yang menjada kebajikan sosioekonomi komuniti India di negara kita.

Program ini termasuk latihan dalam bidang teknikal dan vokasional, yang bertujuan meningkatkan kebolehpasaran belia komuniti India di pelbagai industri. Dengan menyediakan kemahiran yang relevan, tingkat pendapatan boleh ditingkatkan kepada satu paras pendapatan yang mampu meringankan beban mereka.

Usaha ini adalah sambungan kepada inisiatif pembangunan belia yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024, di mana kerajaan menyediakan dana khas untuk latihan dan program keusahawanan. 

Ini selaras dengan nilai daya saing dalam rukun MADANI yang menekankan nilai-nilai positif dalam bentuk usaha daya saing dalam memastikan belia India dapat menjadi lebih berdaya saing dalam ekonomi moden dan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara.

Dengan kerjasama sektor swasta, program latihan ini memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang berjaya menamatkan latihan, sekaligus meningkatkan pendapatan isi rumah komuniti ini secara jangka panjang.

Manfaat bersama

Tingkat daya saing ini akan membantu mencipta generasi daya saing yang baru dalam mendepani cabaran semasa sekiranya konteks MADANI itu dizahirkan sepenuhnya dalam pembangunan kemahiran dan daya saing komuniti ini. 

Belanjawan 2025 mencerminkan kesungguhan kerajaan MADANI dalam memastikan setiap komuniti menerima bantuan dan sokongan yang sepatutnya. Usaha ini adalah lanjutan dari dasar-dasar terdahulu yang diperkenalkan sejak Belanjawan 2023.

Melalui program bantuan kewangan, subsidi barangan asas, sokongan keusahawanan, dan latihan kemahiran, kerajaan terus menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap komuniti India, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan keadilan sosial, keterangkuman, dan perpaduan.

Dalam setiap ucapan dan pertemuan dengan komuniti India di negara ini, Perdana Menteri sentiasa mengingatkan bahawa “semua kaum di Malaysia adalah penting” dan bahawa usaha yang dilaksanakan kerajaan bukan sekadar janji tetapi adalah langkah nyata untuk memastikan Malaysia benar-benar MADANI.

Perdana Menteri sentiasa berkongsi hasrat untuk terus memperkukuh peranan komuniti India dalam ekonomi negara dan memastikan mereka mempunyai peluang yang setara untuk maju. 

Dengan fokus pada pengurangan kos sara hidup, bantuan ekonomi yang mantap, dan pembangunan kemahiran, Belanjawan 2025 menjadi satu lagi bukti kerajaan untuk memperjuangkan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan menyeluruh.

Dengan langkah-langkah ini, kerajaan MADANI tidak hanya menghulurkan bantuan kewangan jangka pendek tetapi juga membuka jalan bagi masa depan yang lebih cerah dan stabil bagi komuniti India di Malaysia dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks dan dinamik.

Kita ingin melihat setiap kaum di negara ini sentiasa akan mendapat manfaat bersama agar setiap kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan yang memerintah. 

***Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam

Anda Mungkin Berminat