Israel tahan operatif Hezbollah dalam serbuan laut di Lubnan

TENTERA Israel melaporkan bahawa seorang operatif kanan Hezbollah telah ditahan dalam satu serbuan laut di bandar Batroun, Lubnan Utara, pada Jumaat lalu.

Menurut seorang pegawai Israel, pasukan khas telah menahan individu tersebut dan membawanya ke Israel dalam apa yang digambarkan sebagai ‘operasi khas’.

Agensi berita Lubnan melaporkan bahawa pasukan tentera yang tidak dikenali mendarat di pantai pada waktu Subuh, menyerbu sebuah bangunan berhampiran dan menangkap seorang individu sebelum berlepas dengan bot laju.

Serbuan ini menimbulkan kemarahan pihak berkuasa Lubnan.

Pejabat Perdana Menteri Najib Mikati menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan kementerian luar untuk membuat aduan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB, Unifil turut menjalankan siasatan dan Mikati menggesa hasil siasatan yang ‘segera’.

Menteri Pengangkutan Lubnan, Ali Hamieh menyatakan bahawa serbuan ini mungkin melanggar Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang bertujuan mengakhiri permusuhan sejak konflik Israel-Hezbollah pada 2006.

Hamieh mempersoalkan pelaksanaan resolusi tersebut jika penculikan itu terbukti dilakukan melalui pendaratan laut.

Hezbollah tidak memberi komen mengenai dakwaan Israel bahawa individu yang ditahan adalah anggota kumpulan itu, manakala Hamieh mengatakan individu tersebut adalah kapten kapal awam.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar di internet menunjukkan sekumpulan tentera membawa seorang tahanan di antara bangunan di Batroun.

Tentera Israel mengesahkan pasukan Shayetet 13, unit komando marin yang pakar dalam pendaratan dari laut ke darat terlibat dalam operasi ini.

Batroun, sebuah bandar Kristian di utara Beirut, jarang terlibat dalam operasi ketenteraan Israel yang biasanya tertumpu di selatan Lubnan, Lembah Bekaa dan pinggir selatan Beirut.

Menurut laporan media tempatan, BBC, setakat ini lebih 2,200 orang telah terbunuh di Lubnan sejak Israel melancarkan serangan darat pada 30 September, sementara 38 askar Israel juga dilaporkan terkorban.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat