Bahrain, New Zealand perkukuh kerjasama bidang keterjaminan makanan

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh kerjasama dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, kali ini dengan Bahrain dan New Zealand sebagai rakan strategik utama.

Dalam dua pertemuan berasingan baru-baru ini, pemimpin dari kedua-dua negara tersebut telah menunjukkan komitmen mereka untuk membangunkan kerjasama yang saling menguntungkan.

Pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar Bahrain ke Malaysia, TYT Dr Waleed Khalifa Almanea, menandakan detik penting bagi hubungan diplomatik kedua negara yang memasuki ulang tahun ke-50.

“Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dalam pengurusan pengairan dan saliran serta berharap dapat meneroka teknologi ketepatan pertanian yang mampu meningkatkan keberkesanan pengeluaran makanan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Isnin.

Dalam konteks ini, kerjasama teknikal dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan institusi penyelidikan Bahrain diharapkan dapat meningkatkan kapasiti pertanian Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Industri Utama New Zealand, Ray Smith, mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Pertemuan tersebut bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah susulan berkenaan kerjasama yang dibangkitkan semasa Lawatan Rasmi Perdana Menteri New Zealand pada bulan September lalu.

“Pertemuan tersebut merangkumi cara-cara untuk meningkatkan akses pasaran bagi produk-produk Malaysia seperti sarang burung layang-layang dan durian segar ke New Zealand.

“”Melalui kerjasama dua hala seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand, kami yakin dapat memperkukuh sektor pertanian dan meningkatkan keterjaminan makanan di kedua-dua negara,” kata kenyataan tersebut.

New Zealand merupakan rakan dagang aktif Malaysia, dengan jumlah perdagangan pertanian antara kedua-dua negara mencecah RM5 bilion tahun lalu.

Kedua-dua pertemuan tersebut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam mengatasi cabaran dalam sektor pertanian.

Usaha itu menunjukkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh keterjaminan makanan melalui inisiatif yang bersifat inovatif dan berdaya saing.

Anda Mungkin Berminat