Oleh: Kamilia Ali
PARLIMEN: Malaysia komited menghentikan kekejaman yang berterusan oleh Israel ke atas rakyat Palestin yang membawa kepada kemusnahan termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menekankan permasalahan semasa yang dihadapi oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
Selain itu, Anwar dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau akan mengutarakan beberapa cadangan tindakan Malaysia untuk menghentikan kekejaman zionis Israel di Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November depan di Riyadh, Arab Saudi.
“Adalah penting bagi Malaysia dan komuniti antarabangsa mengutuk jenayah genosid di Palestin, memberi tekanan ke atas Israel untuk melaksanakan gencatan senjata dengan segera.
“Ia bertujuan bagi membolehkan bantuan ubat, makanan dan keperluan kemanusiaan lain dihulurkan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Jelasnya, Malaysia akan mengusulkan ke persidangan kemuncak berkenaan agar sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA.
“Usul tersebut untuk UNRWA meneruskan perkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT) dipertahankan dan diperkukuhkan.
“Malaysia berhasrat menggunakan Sidang Kemuncak ini untuk meraih sokongan negara-negara Arab dan Islam terhadap inisiatif tersebut dan menghalang pelaksanaan keputusan Parlimen Israel (Knesset) pada 28 Oktober 2024 lalu,” ujarnya.
Justeru, Malaysia komited dalam memperjuangkan hak Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, menerusi dialog, kerjasama, dan penyelesaian yang adil.
Baca juga: